HARIMAU
Harimau (Panthera tigris) (juga dipanggil harimau belang
atau pak belang) merupakan spesies binatang terbesar di kalangan empat jenis
"kucing besar" dalam genus Panthera, dan anggota famili Felidae.
Harimau yang berasal dari Asia timur dan selatan ini ialah sejenis haiwan
pemangsa dan maging. Subspesies harimau yang lebih besar boleh mencecah panjang
3.3 meter (11 kaki) dan berat 300 kilogram (660 paun). Selain kebesaran dan
kegagahannya, ciri-ciri terpenting yang dimiliki harimau ialah corak belang
menegak berwarna gelap yang melapisi bulunya yang berwarna keputihan atau merah
kejinggaan.
Harimau yang mempunyai ciri amat mudah menyesuaikan diri
dengan persekitaran baru, terdapat dari kawasan taiga Siberia, ke padang rumput
terbuka, ke paya bakau tropika, antara lainnya. Harimau ialah haiwan yang
biasanya gemar bersendiri dan berkelakuan kewilayahan, dan sering memerlukan
kawasan habitat yang amat luas untuk menampung keperluan memburu mangsanya. Dan
kerana mudah didapati di sebilangan kawasan di dunia yang paling padat
kependudukan manusianya, menyebabkan sering terjadinya konflik antara harimau
dan manusia. Tiga daripada sembilan subspesies harimau moden sudah
diisytiharkan pupus dan enam yang selebihnya digolongkan sebagai terancam.
Punca-punca utama harimau terancam ialah kemusnahan dan fragmentasi habitat,
dan juga kegiatan memburu. Harimau yang pernah menduduki kawasan-kawasan seluas
Mesopotamia dan Caucasus hingga Asia Selatan dan Timur, kini semakin
berkurangan bilangannya. Walaupun semua spesies yang masih ada diberi
perlindungan undang-undang, namun pemburuan, kemusnahan habitat dan kemurungan
pembiakbakaan dalam tetap menjadi ancaman.
Walau apapun, harimau tetap menjadi salah sejenis megafauna
berkarisma yang paling terkenal di dunia. Harimau banyak memainkan peranan
penting dalam mitos dan budaya rakyat, di samping masih mendapat tempat dalam
bidang perfileman dan kesusasteraan moden. Lukisan harimau sering dijumpai pada
bendera dan jata negara, sebagai maskot sukan, dan haiwan kebangsaan sebilangan
negara Asia, termasuk Malaysia.
No comments:
Post a Comment