Monday, 11 August 2014



SAMBUNG



Kawasan harimau biasanya mempunyai tiga ciri utama: Ia akan memiliki perlindungan bagus, terletak berhampiran air dan terdapat banyak mangsa. Harimau Benggala tinggal di semua jenis hutan, termasuk hutan basah, malar hijau, separa-malar hijau Assam dan timur Benggala; hutan bakau Delta Ganges; hutan daun luruh Nepal dan hutan duri Barat Ghats. Berbanding singa, harimau lebh menyukai tumbuh-tumbuhan tebal, kerana penyamarannya lebih sesuai, dan di mana pemangsa tunggal tidak kekurangan kelebihan berbanding kawanan. Antara kucing besar, cuma harimau dan jaguar yang pandai berenang; harimau sering ditemui mandi dalam kolam, tasik dan sungai. Berbeza dengan kucing lain, yang cenderung mengelak air, harimau mencarinya secara aktif. Semasa waktu panas hari, harimau sering dijumpai menyejukkan diri di dalam air. Harimau merupakan perenang baik dan dapat berenang sehingga 4 batu. Harimau juga sering didapati membawa mangsa yang dibunuhnya merentasi tasik.

Sifat fizikal dan evolusi
Di China dan Jawa, telah dijumpai tinggalan seekor kucing seakan-akan harimau, iaitu Panthera palaeosinensis, yang pernah hidup sekitar 2 juta tahun dahulu, ketika bermulanya zaman Pleistosen, tetapi lebih kecil berbanding harimau zaman sekarang. Fosil-fosil harimau sebenar terawal yang dikenal pasti dijumpai di Jawa, berusia antara 1.6 hingga 1.8 juta tahun. Fosil-fosil yang berbeza dari zaman awal dan pertengahan Pleistosen juga ditemui dalam mendapan tanah dari China dan Sumatera. Satu subspesies bernama harimau Trinil (Panthera tigris trinilensis) pernah hidup sekitar 1.2 juta tahun dahulu, dan fosil-fosilnya ditemui di Trinil, Jawa.

Harimau mula menjejak kaki di India dan Asia Utara pada zaman akhir Pleistosen, mencapai Beringia (tetapi tidak benua Amerika), Jepun, dan Sakhalin. Fosil-fosil yang ditemui di Jepun menandakan harimau-harimau tempatan dahulu kala, seperti subspesies yang masih wujud di kepulauan tersebut, adalah lebih kecil berbanding harimau di tanah besar. Ini mungkin disebabkan oleh kaitan saiz badan dengan ruang persekitarannya, ataupun kurangnya bekalan mangsa. Sehingga zaman Holosen, harimau juga berhabitat di Borneo dan juga pulau Palawan di Filipina.

Ciri-ciri fizikal


Harimau Siberia.
Harimau merupakan spesies kucing liar yang paling terkenal (selain singa). Harimau biasanya berbulu kemerahan atau perang berkarat, bulu dadanya berwarna keputihan, "berjambul" putih melilit mukanya, dan belang-belang yang berwarna perang, kelabu atau hitam. Setiap subspesies harimau memiliki bentuk dan kepadatan belang yang berlainan dari subspesies yang lain (di samping juga corak warna bulunya; misalnya, harimau Siberia berwarna lebih pudar berbanding subspesies yang lain). Kebanyakan harimau memiliki lebih 100 batang belang. Setiap harimau memiliki corak belang yang unik kepadanya, oleh itu mungkin ada gunanya untuk mengenal pasti harimau individu, seperti mana cap jari digunakan untuk mengenal pasti orang. Walaupun begitu, ini bukan cara yang biasa digunakan kerana sukarnya merakam corak belang seekor harimau liar. Mungkin sekali belang berfungsi sebagai alat penyamaran untuk membantu harimau menyorokkan diri dalam bayang bertelau-telau dan rumput panjang di persekitarannya, sambil menghendap mangsanya. Apabila bulu harimau dicukur, corak belang yang sama dengan bulunya juga kelihatan. Seperti spesies kucing besar yang lain, terdapat bintik putih di belakang kedua-dua belah telinga harimau.



Rangka harimau.

Harimau juga digeruni sebagai kucing yang paling berat di hutan belantara. Harimau juga memiliki kaki dan bahu yang amat kuat, yang membolehkannya mengheret mangsa yang lebih berat daripada dirinya. Bagaimanapun, setiap subspesies berlainan saiznya dengan satu sama lain, apalagi lebih tinggi latitud habitatnya maka lebih besar subspesiesnya, selaras dengan hukum Bergmann. Maka, harimau Siberia (Panthera tigris altaica) jantan yang lebih besar boleh mencapai kepanjangan 3.5 m "ikut lengkung" (3.3 m. "ukuran lurus") dan berat 306 kilogram, iaitu lebih besar berbanding harimau-harimau yang tinggal di kepulauan seperti harimau Sumatera, iaitu subspesies hidup yang terkecil dengan berat badan setakat 75–140 kg sahaja.Harimau betina lebih kecil berbanding harimau jantan dalam setiap subspesies. Perbezaan saiz antara harimau jantan dan betina lebih ketara dalam subspesies yang lebih besar, iaitu berat harimau jantan bersamaan dengan 1.7 kali berat harimau betina.[16] Selain itu, harimau jantan lebih luas tapak kaki depannya berbanding harimau betina. Perbezaan ini sering digunakan oleh ahli biologi untuk menentukan jantina harimau apabila memerhati kesan tapak kakinya Tengkorak harimau amat serupa dengan tengkorak singa, cuma bahagian hadapannya tidak begitu tertekan atau rata, dengan kawasan postorbital yang lebih panjang sedikit berbanding tengkorak singa yang lebih lebar lubang hidungnya. Namun begitu, disebabkan perbezaan tengkorak kedua-dua spesies tersebut tidak begitu ketara, spesies pemilik tengkorak biasanya hanya dapat ditentukan melalui struktur rahang bawahnya.

No comments:

Post a Comment