FAKTOR KEJAYAAN JEPUN
MENAKLUKI TANAH MELAYU
Perang Dunia Kedua
Kejayaan Jepun menguasai seluruh Tanah Melayu dalam tempoh
70 hari sahaja didorong oleh pelbagai faktor. Perang Dunia Kedua yang meletus
di Eropah menjadi pemangkin utama kepada kejayaan pihak Jepun tersebut. Pihak
British bukan tidak menyedari kemungkinan bahawa pihak Jepun akan menyerang
Tanah Melayu tetapi lebih menumpukan perhatian kepada peperangan yang meletus
di Eropah lebih mendesak. Pihak Britain yang mempunyai tanah jajahan di
Afrika dan Asia telah diminta untuk membantu Rusia, Perancis dan Belanda
apabila keadaan semakin terdesak. Hal ini menyebakan tanah jajahan di Asia
Tenggara terutamanya Tanah Melayu terbiar dan membuka peluang kepada Jepun
untuk menyerangnya. Pihak British juga tidak bersungguh-sungguh mempertahankan
Tanah Melayu. Pertahanan di Timur telah diserahkan kepada Amerika Syarikat yang
berpengkalan di Pearl Habour, Hawaii. Kesan daripada pengeboman Jepun di Pearl
Habour telah melumpuhkan terus pertahanan di Timur.
Sikap Pihak Barat
Selain itu, sikap pihak barat yang memandang rendah terhadap
kemampuan Jepun menjadi salah satu faktor kejayaan Jepun. Pihak British
cukup yakin dengan kemampuan tentera laut dan udara mereka yang dianggap bahawa
ianya boleh menandingi kekuatan tentera Jepun dengan mudah. Pihak British juga
cukup yakin dengan adanya kedua-dua kapal perang mereka. Akibatnya apabila
pihak Jepun dengan mudah menenggelamkan kapal-kapal tersebut, ianya telah
mengaibkan British yang terkenal sebagai kuasa laut pada Perang Dunia Pertama.
Persediaan dan
Perancangan Jepun
Persediaan dan perancangan Jepun yang teratur juga
menjadi pemangkin kepada kejayaan ini. Penubuhan unit Perisikan Khas berjaya
mendapatkan maklumat kekuatan tentera Britsh di Tanah Melayu dan memudahkan
pihak Jepun untuk merancang strategi. Selain perisik tempatan, Jepun juga
menghantar orang Jepun sendiri ke Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu untuk
menjalankan pengintipan. Mereka telah menyamar dengan menjalankan pelbagai jenis
pekerjaan seperti membuka kedai tukang gambar, kedai ikan peliharaan dan keda
gula-gula. Mereka mengambil gambar bangunan, jalan raya, jambatan, mengkaji
sungai-sungai dan jalan di dalam hutan dengan alasan untk mencari ikan untuk
jualan. Semua maklumat ini digunakan oleh tentera Jepun untuk mengkaji
kedudukan pertahanan Tanah Melayu sebelum memulakan serangan. Maklumat-maklumat
tentang kubu British, landasan kapal terbang dan lokasi kem tentera telah
diperoleh terlebih dahulu. Hal ini memudahkan serangan Jepun ke Tanah Melayu.
Penyebaran
Dakyah anti-British
Selain itu, Jepun juga, melalui Doro Nawa telah berjaya menyebarkan dakyah
anti-British dalam kalangan askar-askar India yang berkhidmat dengan pasukan
British di Tanah Melayu untuk meninggalkan perkhidmatan mereka. Jepun telah
berjaya menarik orang India yang berkhidmat dengan British untuk
bekerjasama dengan Jepun. Seorang nasionalis radikal India, Subhas Chandara
Bose telah datang ke Tanah Melayu dan menubuhkan pasukan yang dikenali sebagai
Indian National Army (INA) untuk membantu Jepun. Jepun juga berjanji untuk
membebaskan India daripada penjajahan British. Pihak Jepun juga berjaya
mempengaruhi penduduk tempatan seperti golongan nasionalis radikal daripada
Kesatuan Melayu Muda (KMM) di bawa pimpinan Ibrahim Hj. Yaakob. Hal ini
memudahkan penguasan Jepun di Tanah Melayu berjalan dengan lancar.
Kelengkapan
Senjata Perang Jepun
Salah satu faktor juga ialah kelengkapan senjata pihak
Jepun. Tentera Jepun telah memperkuatkan serangannya dengan mengadunkan
kekuatan baik dari segi laut, udara mahupun darat. Angkatan udara Jepun telah
mengambil kira jarak dan sasaran, dari pengkalan-pengkalan baru mereka di
Indo-China seterusnya telah menggunakan kapal terbang pejuang yang dianggap
lebih moden daripada pihak British. Pesawat pejuang ini juga memberikan
perlindungan kepada pesawat pengebom untuk memusnahkan instalasi penting
British termasuk yang berada di pedalaman. Begitu juga dengan bantuan
perlindungan rapat kepada pesawat-pesawat pengangkut dan logistik. Mereka juga
dibantu dengan tembakan meriam daripada kapal-kapal pemusnah Jepun yang
berlabuh dekat pantai untuk melemahkan pertahanan utama British di sekitar
landasan kapal terbang Pengkalan Chepa. Secara kesuruhannya, kekuatan tentera Jepun
diperkuat sepenuhnya dengan persenjataan, kelengkapan, bekalan peluru, makanan
dan ubat-ubatan.
Kelemahan
Tentera British
Kelemahan tentera British dan kekurangan kelengkapan senjata
perang juga menjadi faktor kekalahan British di tangan Jepun. Pasukan tentera
British yang dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan Tanah Melayu dan
Singapura kurang terlatih dan berpengalaman. Mereka juga bukan berasal dari
kalangan satu bangsa atau terdiri daripada orang tempatan. Hal ini menyebabkan
mereka tidak mempunyai semangat cintakan tanah air yang mendorong mereka untuk
berperang bersungguh-sungguh. Kelewatan tentera bantuan dari London dan India
juga merumitkan lagi keadaan. Kelewatan ini berlaku berikutan masalah kewangan
yang dihadapi oleh kerajaan British.
Kekurangan kelengkapan senjata perang juga memudahkan
Jepun untuk menewaskan British. Pihak British hanya bergantung kepada dua buah
kapal perangnya iaitu kapal Prince of Wales dan Repulse untuk menjaga peraiaran
Tanah Melayu. Apabila pihak Jepun berjaya menenggelamkan kedua-dua kapal
tersebut, tentera Jepun mengusai sepenuhnya kawalan sekitar perairan Tanah
Melayu. Keadaan di pengkalan laut juga tidak memuaskan. Pengkalan laut di
Singapura hanya disiapkan pada tahun 1938 dan tidak digunakan sepenuhnya kerana
tidak ada kapal laut yang dihantar oleh kerajaan British. Dari segi pertahanan
udara, ruang angkasa Tanah Melayu dikawal oleh beberapa ratus pesawat udara
sahaja dan tidak begitu baik jika dibandingkan dengan kemampuan kapal terbang
Jepun. Kekuatan pertahanan British juga hanya bergantung kepada tiga pasukan
tentera iaitu Pasukan ke-8, Pasukan ke-9 (Australia) dan Pasukan ke-11
(India) dengan jumlah tentera seramai 89 000 orang berbanding dengan tentera
Jepun seramai 150 000 orang.
Pihak British juga kalah di tangan Jepun disebabkan mereka
kurang bersedia. Pihak British menyangka Jepun akan memulakan serangan
dari arah selatan (Singapura) kerana pusat pentadbiran British terletak
di situ. Sebaliknya, Jepun memulakan serangan dari arah utara (Kelantan) dan
menakluk negeri-negeri Melayu satu demi satu. Oleh itu,semasa serangan Jepun,
semua meriam dan senapang telah dihalakan ke laut. Kemaraan Jepun dari utara
sememangnya di luar jangkaan British.
Semangat Juang yang Tinggi
Faktor
yang tidak kurang pentingnya juga ialah unsur moral dan semangat juang yang
tinggi dalam kalangan tentera Jepun. Pihak Jepun bukan sahaja memiliki kekuatan
dari segi bilangan tetapi mereka sangat terlatih dan mempunyai semangat juang
dan disiplin yang tinggi. Tentera Jepun di samping bermoral tinggi dan
bersemangat juga menganggap perjuangan mereka itu adalah perjuangan suci bagi
Negara dan Maharaja.
No comments:
Post a Comment